KANAK-KANAK DI CHINA BOLEH DIHUKUM JIKA SABIT KESALAHAN
KANAK-KANAK DI CHINA BOLEH DIHUKUM JIKA SABIT KESALAHAN
BEIJING: Pesalah kanak-kanak semuda 12 tahun di China boleh dijatuhkan hukuman jenayah sebagai dewasa berdasarkan pindaan terbaru undang-undang bagi menurunkan had umur minimum dalam kes tertentu.
Pindaan undang-undang itu dipersetujui oleh badan perundangan tertinggi China iaitu Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Nasional, pada Disember lalu.
Pelaksanaannya, yang berkuat kuasa mulai 1 Mac ini, dilakukan berikutan peningkatan kes jenayah membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah umur, lapor Agensi.
Antaranya termasuk kesalahan seperti membunuh atau mencederakan dengan niat, yang dilakukan oleh pesalah serendah usia 14 tahun dan ke bawah.
Bagaimanapun, had bagi tanggungjawab jenayah dikekalkan pada usia 16 tahun.
GAMBAR HIASAN
Namun, pesalah juvana berumur 14 hingga 16 tahun turut berdepan hukuman jenayah sekiranya mereka membunuh atau mencederakan dengan niat, merogol atau terbabit dalam rompakan menggunakan keganasan melampau.
Pindaan sama turut menetapkan bahawa kanak-kanak berusia antara 12 dan 14 tahun kini boleh dakwa jika membunuh dengan niat atau mencederakan dengan niat sehingga mengakibatkan kematian atau kecacatan teruk secara kejam.
Bagi kes yang masih samar, pendakwaan akan disemak oleh Mahkamah Agung Rakyat berdasarkan setiap kes dan pendakwaan perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Pendakwa Raya Tertinggi negara itu.
Penambahbaikan undang-undang jenayah membabitkan pesalah kanak-kanak bawah umur sudah lama menjadi isu yang kerap diperkatakan berikutan China dihuni oleh 300 juta rakyat berumur 18 tahun ke bawah.