KKM SUDAH TAMBAH STAFF DI KLIA & KLIA 2
Berita Nasional
KKM SUDAH TAMBAH STAFF DI KLIA & KLIA 2
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menambah kakitangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 untuk menjalankan saringan kepada individu yang tiba dari Sabah.
Ia susulan peraturan baharu yang mewajibkan semua individu yang tiba dari Sabah, disaring di pintu masuk domestik dan antarabangsa bermula hari ini hingga 10 Oktober.
“Kementerian Kesihatan sudah menambah kakitangan di KLIA dan klia2 untuk menjalankan ujian saringan kepada semua pengembara dari Sabah yang tiba di pintu masuk antarabangsa dan domestik.
“Peraturan baharu itu bermula hari ini dan mereka dipakaikan gelang kuarantin dan diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO),” jelas kementerian itu menerusi Twitter, hari ini.
Terdahulu, sejumlah individu dari Sabah, khususnya yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, memaklumkan terpaksa menunggu sehingga enam jam untuk menjalani ujian calitan (swab test) COVID-19.
Beberapa video juga tular di media sosial menunjukkan ratusan individu terpaksa beratur panjang serta duduk di atas lantai di KLIA dan klia2 bagi menunggu giliran melakukan ujian saringan.
Beberapa wartawan yang membuat liputan PRN Sabah turut memaklumkan terpaksa menunggu beberapa jam sebelum tiba giliran untuk membuat ujian berkenaan.