98 PERATUS LULUS PERMOHONAN MORATORIUM LANJUTAN
Berita Nasional/Bisnes
98 PERATUS LULUS PERMOHONAN MORATORIUM LANJUTAN
KUALA LUMPUR: Sehingga kini, kira-kira 98 peratus permohonan bantuan pinjaman diluluskan oleh bank, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, sejak Ogos lalu, kerajaan membuka permohonan untuk program Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Bersasar (MLBBB) kepada golongan yang benar-benar memerlukannya. ⠀⠀
⠀⠀
Kata beliau, bagi peminjam yang hilang pekerjaan atau mengalami potongan gaji, mereka boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk mendapatkan moratorium lanjutan atau pengurangan ansuran sepadan dengan pengurangan gaji bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan (bergantung kepada jenis pinjaman).
Menurutnya, bagi yang mempunyai kekangan lain seperti pendapatan isi rumah atau perniagaan terjejas boleh mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan oleh institusi kewangan.
“Orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam. ⠀⠀
⠀⠀
“Sehingga kini, sekitar 98 peratus permohonan bantuan pinjaman diluluskan oleh bank. Penting untuk kita bezakan MLBBB dan Moratorium Automatik. Inisiatif terkini adalah lebih bersasar dan membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Golongan B40 dan M40, khususnya, akan terus terbela di bawah program ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook malam tadi.
Tengku Zafrul berkata, bagi mereka yang masih mampu disarankan terus membayar balik ansuran pinjaman selaras dengan perjanjian bayaran masing-masing.
“Tak usah lengah-lengahkan bayaran balik anda. Apabila peminjam mengurangkan jumlah hutang, ia juga demi kebaikan peminjam sendiri.
“Jika betul-betul mengalami kekangan, terdapat pelbagai bantuan yang disediakan,” katanya.
Sumber: Utusan ONLINE