PERTARUHAN BESAR MIKE TYSON DAN HOLYFIELD
PERTARUHAN BESAR MIKE TYSON DAN HOLYFIELD
LONDON: Mike Tyson menentang Evander Holyfield III akan berlangsung di Timur Tengah pada tahun ini dengan 200 juta pound (RM1.1 billion) akan menjadi pertaruhan bagi pertarungan ulangan itu.
SunSport difahamkan pasangan veteran dengan kombinasi usia mencecah 112 tahun itu sedang dalam perbincangan untuk aksi trilogi yang akan diadakan di Dubai.
Susulan kejayaan Tyson yang kembali bertarung menentang Roy Jones Jr di Los Angeles, Baddest Man on the Planet itu kini sedang mempertimbangkan tawaran daripada salah satu tempat terkaya di dunia ini untuk satu lagi pertarungan, lapor Agensi.
Anthony Joshua mengutip 200 juta pound (RM551 juta) untuk menewaskan Andy Ruiz Jr di Arab Saudi pada 2019 dan UFC menikmati ‘tempoh berkurung’ mereka dengan hebat di Abu Dhabi di mana peraturan COVID-19 tetap dipatuhi dan wang besar masih boleh diperoleh.
Dengan Tyson yang berusia 54 tahun membuktikan dirinya masih boleh menjadi tarikan besar, dia mungkin sekali lagi mampu menjadi watak utama dengan pentasnya kini adalah di gurun.
Dua jaguh heavyweight itu pernah bertempur sebanyak dua kali di mana Holyfield memenangi aksi pada November 1996 selepas 11 pusingan.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Pertarungan semula yang dilangsungkan tujuh bulan kemudian menjadi salah satu pertarungan paling diingati dalam sejarah apabila Tyson menggigit cuping telinga Real Deal itu.
Sebagai rekod, Tyson menikmati keuntungan apabila bertinju dengan Jones Jr yang jelas menjadi satu kejayaan yang besar.
Pertarungan Tyson dan Jones di Los Angeles itu mendapat sambutan hangat oleh penyiar di mana BT Sport berpuas hati dengan jumlah penyokong yang membayar pertarungan berharga 19.95 pound (RM110) meskipun pertarungan berlangsung pada jam 5 pagi.
Holyfield sepatutnya menjadi lawan buat Tyson yang kembali bertarung selepas 15 tahun bersara namun ia tidak menjadi kenyataan sekali gus memberi peluang kepada Jones Jr.