ZII JIA TEWAS LAGI
ZII JIA TEWAS LAGI
KUALA LUMPUR: Hajat jaguh perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia untuk menebus kekecewaannya tewas kepada Chou Tien Chen di suku akhir Yonex Terbuka Thailand, dua minggu lalu tidak kesampaian.
Sebaliknya, Zii Jia terpaksa akur apabila tunduk sekali lagi kepada pemain Taiwan itu 16-21, 21-12, 11-21 pada aksi pertama Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, sebentar tadi, lapor BH Online.
Kekalahan dalam masa 57 minit itu menyaksikan jaguh negara itu tiada pilihan lain selain bangkit memenangi dua lagi aksi sekiranya berhajat mara ke separuh akhir.
Aksi menentang juara Toyota Terbuka Thailand dan Terbuka Thailand Yonex yang juga pilihan utama dari Denmark, Viktor Axelsen, esok akan menjadi misi hidup matinya.
Dia perlu menang jika mahu mara dan jika tewas hanya akan melengkapkan jadual menentang pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting pada Jumaat nanti.
GAMBAR HIASAN
Untuk rekod, tiga pertemuan antara Zii Jia dan Axelsen sebelum ini memihak kepada pemain dari Denmark itu dengan 2-1.
Kemenangan terbaru Axelsen ke atas Zii Jia adalah di separuh akhir Seluruh England 2020.
Kali pertama dan terakhir Zii Jia merekodkan kemenangan ke atas lawannya itu di Terbuka Korea 2019 dengan keputusan 21-18, 21-16.