DIBUANG KERJA ANGKARA VIDEO 20 SAAT
DIBUANG KERJA ANGKARA VIDEO 20 SAAT
KEMAMAN: Gara-gara tular memandu secara berbahaya ketika melalui jalan berbukit di Jalan Mak Lagam-Cheneh di sini kelmarin, seorang pemandu treler dikenakan tindakan diberhentikan kerja oleh majikannya serta-merta.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkarnain Yasin berkata, lori sama yang dipandu lelaki berkenaan ditahan pihaknya dalam operasi di lokasi kejadian semalam.
“Bertindak atas video yang viral, kita menggerakkan lima pasukan untuk melakukan operasi dan menahan lori tersebut.
“Difahamkan, pemandu asal lori itu diberhentikan kerja oleh majikannya serta-merta dan kenderaan berat itu kini dipandu rakan sekerjanya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Bagaimanapun, Zulkarnain berkata, pihaknya akan memanggil majikan dan lelaki itu dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.
Katanya, Jalan Mak Lagam-Cheneh adalah kawasan tumpuan JPJ kerana menjadi laluan kenderaan berat.
Kelmarin, tular video berdurasi 0.20 saat memaparkan aksi berbahaya pemandu treler yang cuba memotong di laluan berbukit tersebut, lapor Utusan Online.
Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Hulubalang Melayu itu dirakam menerusi kamera perakam video (dashcam) miliknya kira-kira pukul 11.39 pagi ketika dalam perjalanan dari arah Cheneh ke Mak Lagam.
Utusan Malaysia difahamkan, lebih lima treler milik syarikat sama berulang alik menggunakan laluan itu pada setiap hari dari Bukit Sagu, Kuantan di Pahang ke kawasan Perindustrian Telok Kalong di sini mengangkut batu kapur.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK HULUBALANG MELAYU
Sementara itu, tinjauan di sepanjang laluan sejauh 30 kilometer itu mendapati ada segelintir treler yang dipandu secara melulu dan laju di laluan sempit.
Keadaan tersebut menyebabkan kenderaan ringan termasuk motosikal terpaksa mengelak ke kaki lima jalan kerana bimbang dilanggar apabila bertembung dengan lori yang melalui jalan tersebut.