2.8 JUTA RAKYAT MALAYSIA HILANG PEKERJAAN
2.8 JUTA RAKYAT MALAYSIA HILANG PEKERJAAN
KUALA LUMPUR : Penutupan penuh sektor ekonomi dengan melaksanakan total lockdown selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 4 Februari ini akan menyebabkan 2.8 juta rakyat berisiko hilang pekerjaan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada yang mencadangkan supaya total lockdown diperkenalkan seperti PKP pertama dulu dengan menutup semua aktiviti perniagaan dan duduk di rumah.
Menurutnya, namun ada yang tidak bersetuju khususnya peniaga mikro yang akan terkesan.
“Mereka mahu sektor perniagaan dibuka untuk mencari rezeki demi kelangsungan kehidupan seharian mereka.
“Dalam membuat sebarang keputusan, kerajaan sentiasa menimbang antara kesan kesihatan dan ekonomi terhadap rakyat dan negara. Jika kita melaksanakan penutupan penuh terhadap sektor ekonomi, beberapa kesan terpaksa ditanggung.
“Antaranya seramai 2.8 juta rakyat berisiko hilang pekerjaan dan 2.5 juta pekerja terjejas pendapatan dan sukar meneruskan kelangsungan hidup,” katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri berkata, kehilangan pendapatan golongan B40 dalam tempoh sebulan dianggarkan RM6.45 bilion dengan purata RM2,400 satu keluarga.
“Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak pelaksanaan PKP pada Mac 2020 hingga Oktober 2020 sebanyak 13,445 syarikat ditutup operasi. Ini bermakna ramai pekerja hilang pekerjaan, lapor HM online.
“Ini antara sebahagian kesan yang terpaksa kerajaan pertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Walau apapun, sebarang keputusan berkaitan langkah yang akan diambil kerajaan berhubung memperketat atau melonggarkan PKP hanya akan ditentukan selepas KKM membuat penilaian risiko dan perbincangan menyeluruh dengan semua pihak serta keputusan oleh Sidang MKN,” katanya.