10 BAYI TERKORBAN HOSPITAL TERBAKAR
10 BAYI TERKORBAN HOSPITAL TERBAKAR
MUMBAI: Sepuluh bayi terkorban di sebuah unit bersalin apabila sebuah hospital utama terbakar di Maharashtra, awal pagi tadi, kata seorang doktor.
Doktor kanan, Pramod Khandate, memberitahu AFP bahawa kakitangan sempat menyelamatkan tujuh bayi baru lahir di hospital yang terletak di daerah Bhandara itu, namun gagal menyelamatkan 10 yang lain.
GAMBAR HIASAN
Menurut laporan, semua bayi yang maut dalam kejadian itu berusia antara beberapa hari hingga tiga bulan.
“Punca kebakaran masih belum diketahui, namun kakitangan kami berusaha memadamkan kebakaran secepat yang termampu.
“Asap kebakaran menyebabkan bayi terbabit lemas,” kata Khandate.
Jururawat bertugas menyedari kebakaran tercetus dari unit neonatal di hospital itu lalu segera menggerakkan usaha kecemasan.
Anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke bahagian lain, manakala pesakit lain dipindahkan ke tempat selamat.
“Tragedi menyayat hati di Bhandara, Maharashtra, di mana kita kehilangan nyawa muda yang berharga,” kata Perdana Menteri India, Narendra Modi, melalui Twitter.
Pemimpin pembangkang, Rahul Gandhi, pula menyifatkan kematian mangsa sebagai amat tragik.
Pihak berkuasa mengarahkan siasatan dijalankan serta-merta berhubung kejadian itu yang mencetuskan keraguan terhadap tahap keselamatan di hospital negara ini.
Lebih 90 mangsa terkorban dalam kebakaran besar di sebuah hospital di Kolkata pada 2011.
Kebakaran di sebuah hospital di Ahmedabad pada Ogos lalu pula meragut nyawa lapan pesakit COVID-19.
Lima lagi pesakit wabak itu terkorban dalam kebakaran di sebuah klinik di Rajkot, November lalu.
Susulan insiden terbabit, Mahkamah Agung meminta laporan mengenai tahap keselamatan di hospital COVID-19.