PKP BERSASAR CARA BERKESAN
PKP BERSASAR CARA BERKESAN
KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati jangkitan COVID-19 boleh mencecah 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan.
Ia termasuk menyekat semula pergerakan rentas negeri atau daerah terutama membabitkan zon merah yang didapati mencatatkan kes harian tinggi.
Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata pelaksanaan PKP itu bagaimanapun perlu mengguna pakai model lebih bersasar dan meluas bagi mengimbangi keperluan kesihatan dan ekonomi.
“Bagaimanapun, ia bukan seperti PKP yang pertama kali dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.
“Kita belajar daripada apa kita lalui dahulu, ubah suai pelaksanaan PKP itu, lebih bersasar tetapi diperluaskan mengikut negeri, mukim atau daerah yang dikategorikan sebagai zon merah.
“Tiada cara lain kerana rakyat masih berdegil, tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi BH ONLINE, hari ini.
Sazaly mengakui pelaksanaan semula PKP akan memberi kesan kepada ekonomi negara terutama dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).
Jelasnya, kes melonjak lebih 3,000 semalam adalah contoh kegagalan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat yang mengambil ringan aspek keselamatan dan kesihatan diri sendiri.
BH ONLINE melaporkan, kes mencecah 8,000 sehari amat membimbangkan, ditambah dengan musim perayaan bakal menjelang tidak lama lagi.
“Sudah tentu jangkitan akan meningkat kerana berlaku pergerakan besar-besaran untuk balik kampung dan sebagainya,” katanya.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Victor Hoe Chee Wai Abdullah, turut berkongsi pandangan sama dan berpendapat pelaksanaan semula PKP adalah langkah terbaik mengekang penularan COVID-19.
“PKP adalah yang terbaik bagi mengawal penularan COVID-19, namun pelbagai faktor perlu diambil kira seperti risiko kesihatan, sosial dan ekonomi.
“Jika kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula PKP, perlu ada pilihan lain.
“Pihak berkuasa juga disyorkan tidak lagi berlembut dengan pesalah yang melanggar SOP. Jangan beri diskaun kompaun kerana ia menyebabkan mereka tidak takut melakukan kesalahan,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau turut mencadangkan kerajaan menaik taraf sistem pengesanan kontak rapat pesakit COVID-19 dengan mengaplikasi penggunaan teknologi digital.
Katanya, penggunaan Rapid Test Kid (RTK) Antigen wajar diperluaskan berbanding penggunaan polymerase chain reaction (PCR) supaya pengesanan kontak rapat dapat dilakukan dengan lebih cepat.
Semalam, KKM meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes sehari menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak 8,000 kes sehari pada Mac jika nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.