HELIKOPTER TERPAKSA BERPATAH BALIK AKIBAT CUACA BURUK
HELIKOPTER TERPAKSA BERPATAH BALIK AKIBAT CUACA BURUK
JERANTUT: Operasi penghantaran bantuan kepada penduduk di Kampung Tembeling Tengah, dekat Taman Negara, terpaksa ditangguhkan sekali lagi hari ini berikutan cuaca buruk.
Difahamkan, operasi itu yang menggunakan helikopter dijadualkan dilaksanakan semalam, namun terpaksa ditunda akibat hujan lebat.
Menurut ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, operasi yang sepatutnya dilakukan jam 10 pagi tadi, terpaksa ditunda sekali lagi berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.
AJK UMNO BAHAGIAN JERANTUT, RAZAK DAUD
“Misi penghantaran bantuan ini diketuai sendiri Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah dan kita sedang memikirkan alternatif lain untuk membantu penduduk di Kampung Tembeling Tengah jika keadaan cuaca buruk berterusan.
OPERASI PENGHANTARAN BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI KAMPUNG TEMBELING TENGAH TERPAKSA DITUNDA AKIBAT CUACA BURUK
“Jadi Datuk Nazri yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pulau Tawar, ambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan udara (helikopter), namun keadaan cuaca sejak semalam tidak mengizinkan untuk helikopter berlepas dan mendarat di kawasan kampung terbabit,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Razak berkata, dianggarkan kira-kira 300 penduduk menetap di Kampung Tembeling Tengah dan pihaknya dimaklumkan bahawa bekalan makanan dan barangan keperluan asas lain sudah hampir kehabisan.
PETUGAS PERLU MENCARI JALAN UNTUK MENGAGIHKAN BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI KAMPUNG TEMBELING TENGAH
Katanya, keadaan cuaca tidak menentu sejak tiga hari lalu memberi kesan terhadap usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan kepada penduduk, terutamanya yang berada di kawasan pedalaman.