MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK
MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK
TEMERLOH: Seorang kakitangan sebuah bank meninggal dunia terkena renjatan elektrik dan ibunya terselamat di Kampung Paya Kechik, dekat sini, pada jam 6.30 petang, semalam.
Mangsa, Isyraf Muhammad berusia 41 tahun, dikatakan sedang memerhati air hujan dan keadaan banjir yang melanda di hadapan rumah ibunya yang mula dinaiki air setinggi kira-kira 10 sentimeter.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, hasil temubual dengan keluarganya, kejadian berlaku semasa mangsa sedang memerhatikan keadaan air hujan dan banjir di halaman rumahnya.
“Ketika itu, mangsa memegang tiang besi yang berada di hadapan rumahnya dan terkena renjatan arus elektrik, ibunya ternampak anaknya dalam keadaan terkena renjatan dan cuba membantu.
“Ibu mangsa dalam usaha membantu turut terpelanting ke belakang dipercaya turut terkena arus elektrik,”katanya.
Katanya, mangsa dibawa ke Klinik Tanjung Lalang oleh abangnya untuk mendapat rawatan dan disahkan meninggal dunia oleh doktor di klinik itu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temerloh (Hoshas) untuk bedah siasat, manakala ibunya turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapat rawatan dan keadaannya tidak membimbangkan.
Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dihubungi dan sedang melakukan siasatan dan mengenal pasti punca arus eletrik itu. Kematian mangsa diklasifikasikan mati mengejut.