SEORANG MANGSA LEMAS DARI DUA BERANAK DITEMUI
MANGSA YANG HILANG ROZI OMAR DITEMUI OLEH PASUKAN PENYELAMAT PAGI INI
LIPIS: Seorang mangsa lemas dari dua beranak yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka bersama ahli keluarga lain yang karam ketika cuba merentasi Sungai Jelai, dekat Kampung Bertang, di sini semalam telah ditemui pada jam 9.45 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, mangsa Rozi Omar, 52, ditemui kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan tersangkut dalam kebun pisang penduduk kampung apabila air banjir mula surut.
Katanya, pada jam 12 tengahari semalam, mangsa, Rozi Omar, 52, bersama anaknya, Nur Zakirah Ahmad Husin, 19, menaiki bot berkenaan bersama suaminya, Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan seorang lagi anak mereka, Nur Aina, 23.
“Kejadian bot karam itu berlaku di Sungai Jelai, berhampiran jambatan gantung, Kampung Bertang, Ulu Jelai, Sungai Koyan dan semua mangsa tinggal di kampung Bukit Betong, Sungai Koyan.
“Siasatan awal polis mendapati bot yang di gunakan bersama ahli keluarga untuk kembali ke rumah untuk melihat keadaan rumah yang telah dinaiki air, telah terbalik disebabkan arus deras,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan Rozi Omar, 52, dan anaknya, Nur Zakirah Ahmad Husin, 19, telah terjatuh ke dalam sungai manakala suaminya Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan seorang lagi anak mereka, Nur Aina, 23 terselamat.
Katanya, anak mangsa, Nur Zakirah Ahmad Husin, 19, masih belum ditemui dan usaha mencari dan penyelamat sedang dilakukan oleh 31 orang pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri polis dan bomba. Penyelamat sedang meneruskan pencarian mangsa yang masuk hari kedua di sekitar kawasan kejadian dan kawasan sekitar.
https://sahih.com.my/bot-karam-seorang-mangsa-ditemui-daripada-dua-yang-
Gambar: Ihsan PDRM