BANJIR: AIR MENDADAK NAIK PAGI INI
RAMLAH: MALAM TADI DI LAMAN, PAGI INI AIR MASUK DALAM RUMAH
JERANTUT: “Air naik setakat di laman rumah malam tadi tapi tak sangka pagi ini air naik mendadak dan masuk ke dalam rumah, saya terus kemas barang dan pindahkan ke tempat selamat,” kata mangsa banjir yang tinggal di jalan masuk ke Simpang Felda Padang Piol, pagi ini.
Ramlah Mohamad, 67 tahun, berkata air mendadak naik awal pagi ini sehingga paras pinggang, saya dan suami segera punggah barang berharga ke tempat selamat seperti peti ais, televisyen dan alatan elektrik yang lain.
“Pada banjir 2014, rumah saya runtuh akibat banjir dan rumah ini baru dibina semula, tapi kali ini air betul-betul naik mendadak dan tidak menyangkanya.
“Mujur tak berlaku sebarang kemalangan jiwa kerana jiran-jiran pun sudah alami perkara yang sama pada 2014,” katanya di hadapan rumahnya pagi ini.
Kira-kira 20 pintu rumah lain turut ditenggelami air sepanjang simpang jalan masuk ke Felda Padang Piol, mula malam tadi.
Jalan Jerantut-Kuala Tahan turut ditutup kepada lalu lintas kerana air naik di tiga tempat sedalam antara 1 meter hingga 2 meter dan jarak antara 50 meter hingga 200 meter, manakala laluan ke Kampung Paya Garuk terus lumpuh.