LALUAN LPT1 MASIH DIGENANGI AIR
LALUAN LPT1 MASIH DIGENANGI AIR
TEMERLOH: Terpaksa bermalam dalam kereta akibat laluan berhampiran Lanchang masih ditutup, itu antara kesulitan dihadapi pengguna laluan Lebuh raya Pantai Timur 1 (LPT1), sejak lewat malam tadi.
Penutupan laluan itu dilakukan pihak syarikat konsesi LPT1, ANIH Berhad, berikutan laluan di Kilometer 84.6 hingga 84.7 dilimpahi air susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat.
Bagi seorang pengguna, Azizi Mohd Zain dari Gua Musang, Kelantan, dia sudah dua kali terpaksa menukar laluan apabila terperangkap ketika melalui jalan Raub-Bentong semalam, sebelum memutuskan untuk menggunakan LPT1.
“Semalam saya sudah terperangkap di sana (Jalan Raub-Bentong) akibat banjir… jadi saya fikir untuk cuba guna LPT1. Sampai kat sini, mereka (ANIH Berhad) memaklumkan jalan tak boleh lalu sebab banjir.
Sementara itu, seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, dia bersama bayi dan ibunya berusia 80 tahun turut terpaksa bermalam di Temerloh berikutan laluan LPT1 berhampiran Lanchang tidak boleh dilalui.
“Saya bertolak semalam dari Rantau Panjang, Kelantan… kami (konvoi) dua biji kereta… ada bayi dan emak berusia 80 lebih… semalam kami terperangkap di Raub, jadi patah balik dan masuk LPT1.
” Sampai kat sini (Temerloh), terperangkap lagi sekali… memang susahlah sebab kami ada bayi dan warga emas,” katanya.
Bagi Farizal Mohamad dari Kuala Terengganu, Terengganu pula, dia tak sangka banjir kali ini begitu teruk hingga mengakibatkan laluan di LPT1 turut terjejas.
“Saya balik bercuti hujung tahun untuk tengok mak kat kampung… kita pun tak sangka banjir boleh teruk sampai macam ini.
“Tidak boleh buat apalah… kena tunggu maklumat terkini dari (laman web) Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) dan ANIH (Berhad),” katanya yang turut bermalam dalam kereta.
Sementara itu, ANIH Berhad dalam kenyataan media pagi tadi memaklumkan, pengguna dinasihatkan menangguhkan perjalanan kerana laluan di Kilometer 84.6 hingga 84.7 masih ditutup.
“Kita mencadangkan pengguna untuk keluar melalui susur persimpangan Lanchang dan menggunakan jalan Persekutuan dari Lanchang-FELDA Lakum dan melalui Bukit Damar, Mempaga, Chinta Manis sebelum memasuki lebuh raya Kuala Lumpur – Karak,” katanya.
https://sahih.com.my/laluan-lpt1-masih-digenangi-air/