LALUAN GUA MUSANG-LOJING DITUTUP
LALUAN GUA MUSANG-LOJING DITUTUP
GUA MUSANG – Laluan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing di sini ditutup kepada semua kenderaan selepas berlaku runtuhan tanah dari lereng bukit yang turut mengakibatkan banjir lumpur.
Kejadian itu menyebabkan pengguna jalan raya dari Gua Musang yang ingin menghala ke Cameron Highlands, Pahang atau Ipoh, Perak terkandas apabila lumpur seperti tanah, bongkah batu dan sisa kayu menimbus laluan kedua-dua arah.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian juga mendapati kelihatan dua buah kenderaan turut rosak akibat kejadian itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 3.30 petang berikutan kejadian hujan lebat di kawasan berkenaan.
Katanya, dua kenderaan turut rosak selepas dihanyutkan lumpur dalam kejadian itu.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana dipercayai pemandu kedua-dua kenderaan sempat menyelamatkan diri.
Choon Foo berkata, jalan sepanjang dua kilometer itu turut terjejas akibat sisa lumpur dan akan ditutup kepada semua lalu lintas sehingga keadaan kembali pulih.
BH Online melaporkan, Hujan lebat berterusan menyebabkan limpahan air dan lumpur dari bukit berhampiran ke atas jalan raya.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Kami berharap pengguna jalan raya dapar mematuhi arahan pihak berkuasa serta berhati-hati dan tidak membahayakan diri dengan melintasi laluan berlumpur itu,” katanya.
Tambahnya, lokasi kejadian bukit runtuh itu juga tidak membabitkan kawasan perkampungan Orang Asli.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya dalam laporannya memaklumkan, kejadian hujan lebat berterusan mengakibatkan kegagalan struktur tanah di laluan itu.
Selain itu, tiada laluan alternatif yang boleh dilalui untuk kedua-dua arah.