KANAK-KANAK MAUT, KEMALANGAN DI MRR2
KANAK-KANAK MAUT, KEMALANGAN DI MRR2
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas kenderaan dinaiki empat sekeluarga terbabas di Kilometer 14.5 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi itu, sepasang suami isteri, masing-masing berusia 43 dan 42 tahun bersama seorang lagi anak lelaki pasangan itu yang berusia enam tahun, dilaporkan cedera.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata ketika kejadian, keluarga yang menaiki Nissan Almera itu dalam perjalanan dari Rawang ke arah Ampang Jaya.
“Pemandu dipercayai hilang kawalan apabila kenderaan itu melalui laluan berselekoh di kawasan itu sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu mengalami kecederaan pada bahagian pinggang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, isteri dan seorang lagi anak pasangan itu yang berusia enam tahun hanya cedera ringan.
BH Online melaporkan, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan manakala mayat kanak-kanak yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Arifai.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, memaklumkan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pada jam 10.29 pagi.
Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan yang terbalik sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.