PERWAKILAN PERLU BERANI BERSUARA
PERWAKILAN PERLU BERANI BERSUARA: JANGAN LEKA DENGAN MUSUH DALAM SELIMUT
KUALA LUMPUR: Bekas presiden UMNO, Najib Razak hari ini menasihatkan perwakilan parti supaya berani menyuarakan dan membahaskan hala tuju UMNO dalam persidangan mesyuarat UMNO bahagian yang bermula hari ini hingga 3 Januari.
Menyorot semula cabaran dan rintangan yang dihadapi UMNO, terutamanya sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu mengingatkan supaya parti itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak, termasuklah musuh dalam selimut.
“Banyak yang berlaku sepanjang tahun ini… sama ada dari segi kerjasama dan persefahaman politik UMNO dan Barisan Nasional yang telah termeterai sejak sekian lama, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional ataupun pendapat mengenai hala tuju UMNO menghadapi PRU-15 dan untuk jangka masa panjang.
“Banyak juga cakap-cakap di luar sana mengenai ini. Bagi saya inilah peluang bagi akar umbi menilai perkembangan sepanjang masa ini dan menentukan sendiri ke mana hala tuju UMNO.
“Setuju atau tidak? Dengan siapa? Kenapa? Bagaimana? Suarakan, bahaskan dan usulkan,” katanya dalam siaran langsung di Facebook hari ini, lapor MALAYSIAKINI.
Bekas perdana menteri itu berkata susulan kejatuhan UMNO-BN pada PRU14, pelbagai cemuhan dihadapi UMNO serta parti gabungan BN lain sehingga terdapat gesaan supaya UMNO dibubarkan.
“Selama ini kita telah berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan penindasan. Lebih-lebih lagi ketika 2018, 2019 masa PH jadi kerajaan – BN sudah innalillah, UMNO sudah hancur kata mereka.
“Ada yang mahu UMNO dihapuskan. Tetapi UMNO tetap utuh dan terus kekal berdiri. Masih ingatkah kita siapa mereka?
“Hari ini UMNO dan Barisan Nasional kekal kukuh dengan kesetiaan akar umbi dan sokongan daripada rakyat dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya.
Untuk rekod, pada September 2019 piagam MN dimeterai bersama PAS dan UMNO iaitu ketika pentadbiran PH.
Namun selepas pentadbiran PN mengambil alih, gabungan itu turut terdiri daripada BERSATU yang dahulunya sebahagian daripada PH.
Bagaimanapun, ketiga-tiga parti itu dijangka berdepan dengan isu pembahagian kerusi dalam PRU15 memandangkan masing-masing akan menumpukan kerusi yang mempunyai majoriti Melayu-Islam.
“UMNO bukan milik mana-mana individu. UMNO bukan milik mana-mana pemimpin. Janganlah kita benarkan UMNO dipengaruhi oleh mana-mana musuh dalam selimut mahupun pihak luar.
“UMNO milik rakyat dan akar umbi UMNO yang setia selama-lamanya.
“Jika ada satu nasihat yang diminta saya berikan, jawapan saya; kita perlu beranikan diri kita,” kata Najib.