TIGA PETUGAS KKM ANGGAP ORANG KAMPUNG HERO
TERIMA KASIH PENDUDUK KAMPUNG BANTAL KERANA PANTAS BERTINDAK
JERANTUT: Tiga petugas Klinik Kesihatan Kampung Bantal bersyukur diselamatkan oleh penduduk kampung itu ketika berdepan detik cemas bot jabatan yang dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan pulang selepas menjalankan tugas di Kampung Mat Daling, di Sungai Tembeling, dekat Kampung Bantal, kira-kira 1.30 petang, kelmarin.
Penolong Pembantu Perubatan yang diselamatkan, Abdul Latif Mokhtar yang baru bertugas dua minggu di klinik itu masih terkejut dengan kejadian yang berlaku berkata, dia bersyukur dengan tindakan pantas penduduk kampung menyelamatkan dia dan rakan petugas lain.
“Bot yang kami gunakan dihanyutkan oleh air deras ketika enjin botnya tidak berfungsi selepas terlanggar batang pokok yang hanyut dan dibadai arus kuat terus terbalik, mujur memakai jaket keselamatan dan kami sedaya-upaya berenang ke tebing sungai dan sempat berpaut pada ranting pokok yang terjuntai di tepi sungai sebelum diselamatkan.
“Saya bersyukur ke hadrat illahi kerana semua selamat dan diberi peluang untuk hidup, terima kasih penduduk kampung sebab orang kampung di sini sangat pantas, cekap dan hebat, mereka saya anggap mereka hero dan tidak dapat dilupakan jasa mereka,” katanya.
Penduduk Kampung Bantal, Wan Norehan Wan Mahmud (55), berkata ketika dia hendak balik ke rumah untuk solat zohor terdengar bot melanggar kayu dan melihat bot kesihatan terbalik dan berteriak meminta tolong untuk menarik perhatian semua orang.
“Saya lihat kelibat orang berenang ke tebing sungai dan berpaut pada ranting dan ternampak bot hanyut serta ada orang berdekatan bot itu, saya terus menghidupkan enjin bot saya mengekori bot hanyut itu untuk membantu menyelamatkan mangsa.
“Ketika itu banyak bot orang kampung turut membantu, hampir 10 buah bot, ada menuju ke mangsa yang berpaut pada ranting pokok dan mengekori bot hanyut untuk diselamatkan,” katanya.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Afiq Radzuan, Pegawai Perubatan Daerah Jerantut, Dr Rafidah Abdul Latif dan Penghulu Mukim Hulu Tembeling, Zarizal Zah Hamri.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata semangat kesamaan, kekeluargaan dan setiakawan yang tinggi kerana membantu menyelamat petugas klinik itu dan sangat bersyukur semuanya selamat.
“Saya terharu kerana YAB Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada penduduk Kampung Bantal yang bertindak pantas dan berani menyelamatkan kakitangan perkhidmatan awam yang baru pulang menjalankan tugas.
“Oleh itu, sebagai kepimpinan setempat, saya mengadakan majlis kecil ini sebagai menghargai jasa dan terima kasih kepada penduduk kampung dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang telah menyelamatkan tiga nyawa, andai lewat bantuan diberi ketika air yang deras di musim tengkujuh ini, entahlah,” katanya di Majlis Kesyukuran di Kampung Bantal, di sini, hari ini.