OP BENTENG GUNA DRON
KUALA LUMPUR : Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) kini menggunakan dron bagi meningkatkan keberkesanan pengawasan dan pemantauan di sempadan negara dalam pelaksanaan Op Benteng.
Harian Metro melaporkan, Komander ATB 2 Brigedier Jeneral Johari Mohd Jaafar berkata, dron adalah aset terkini diterima dalam usaha meningkatkan keberkesanan operasi bagi menutup jurang dan kekangan pengoperasian.
“Pengoperasian dron akan meningkatkan lagi keupayaan ATB 2 dalam melaksanakan Op Benteng terutamanya dari aspek operasi dan risikan udara di kawasan berisiko tinggi.
“Ini bagi memastikan keselamatan dan kepercayaan masyarakat tempatan terhadap kredibiliti dan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal teguh terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan dan aset Markas ATB 2 diaturgerakkan ke kawasan berkepentingan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
“Kepadatan penempatan di Pantai Tawau dan kawasan berpaya yang luas memerlukan keanggotaan yang ramai bagi mengawalnya, namun atur gerak dron ke kawasan itu dapat menutup jurang dan kekangan pengoperasian,” katanya.
Beliau berkata pasukan atur gerak cepat dan dron turut digembleng agar penyaluran maklumat terkini, semasa dan tepat serta digunakan sebagai platform atur gerak tindakan pengekangan selanjutnya.
Menurut beliau, pengawasan dan pemantauan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) juga dilaksanakan pada siang dan malam secara berterusan.
Johari turut mengingatkan anggota operasi agar sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi dari semasa ke semasa.