NETANYAHU TERIMA SUNTIKAN VAKSIN
RAMALLAH : Israel akan memulakan program vaksinasi Covid-19 minggu depan namun malangnya penduduk Palestine yang hidup di bawah sekatan Benjamin Netanyahu perlu menunggu lebih lama.
Netanyahu menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Sabtu lalu diikuti program suntikan bagi baki penduduk Israel.
Arab News melaporkan Netanyahu membuat perjumpaan peribadi dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla untuk membincangkan perkara berkenaan.
Malah, dia turut mengakui dapat menghubungi Bourla pada jam 2 pagi.
Israel mencapai persetujuan dengan Pfizer untuk mendapatkan lapan juta dos vaksin berkenaan, cukup untuk menampung separuh daripada sembilan juta populasi Israel memandangkan setiap individu memerlukan dua dos.
Israel turut memiliki unit vaksinasi mudah alih yang dilengkapi peti sejuk untuk menyimpan vaksin berkenaan pada suhu minimum 70 darjah Celsius.
Ia merancang untuk memulakan pemberian vaksinasi minggu depan dengan kapasiti sehingga 60,000 suntikan sehari.
Ia turut mencapai persetujuan berasingan dengan Moderna awal bulan ini bagi mendapatkan enam juta dos vaksin bagi keperluan tiga juta penduduk Israel.
Namun, program itu hanya untuk penduduk Israel termasuk pendatang haram Yahudi di Tebing Barat dan tidak membabitkan seramai 2.5 juta warga Palestine di wilayah berkenaan.
Sementara itu, The Washington Post, Ahad lalu melaporkan, ia bergantung kepada budi bicara Tel Aviv, yang akan mula mengedarkan kira-kira empat juta dos vaksin Pfizer-BioNTech.
“Malah, jika mendapat bekalan itu sekali pun, Palestin akan menghadapi masalah logistik untuk menyimpan vaksin ini yang memerlukan stor sejuk beku.
“Ini agak mustahil kerana Semenanjung Gaza hanya mendapat bekalan elektrik selama lapan jam sehari,” menurut laporan itu.
Pengarah Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Ali Abd Rabbo turut mengakui mereka tidak mempunyai keupayaan teknikal untuk penyimpanan vaksin itu jika mendapat akses pada masa depan.
“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Tel Aviv, namun tiada perjanjian dicapai hingga kini,” katanya.