MKN, SYARIKAT PENERBANGAN PERLU BERBINCANG
CARI JALAN PENYELESAIAN ISU BATAL PENERBANGAN
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang dengan syarikat penerbangan bagi mencari penyelesaian berhubung rungutan orang ramai yang terpaksa melakukan ujian calitan COVID-19 kali kedua berikutan ada penerbangan ke Sabah dan Sarawak dibatalkan pada saat akhir.
BH Online melaporkan, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan membebankan rakyat yang terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk pulang ke Sarawak atau Sabah dan sebaliknya.
“Mereka yang ingin terbang ke Sabah atau Sarawak perlu menjalani ujian calitan COVID-19 tiga hari sebelum tarikh penerbangan.
“Jika penerbangan ditangguhkan, maka mereka perlu buat ujian calitan kedua, jadi saya akan minta pihak MKN berbincang dengan syarikat penerbangan supaya perkara ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri dalam sesi soal jawab turut menegaskan mana-mana individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
“Jika berlaku pelanggaran SOP termasuk bagi program hiburan, tindakan boleh diambil ke atas mereka
“Bagi program hiburan, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia turut berada di kawasan berkenaan dan sepatutnya tindakan diambil (jika ada kes pelanggaran SOP),” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu membabitkan program hiburan di televisyen yang didakwa tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal termasuk di belakang tabir.