PENIAGA ASING TIADA TEMPAT DI PASAR BORONG SELAYANG
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan mengekal pendirian tidak membenarkan pengambilan pekerja warga asing di Pasar Borong Selayang, Selangor.
Memetik laporan Malaysiapost, Menterinya, Annuar Musa, berkata pendirian itu kekal walaupun ada pemborong yang mengemukakan surat rayuan bagi tujuan berkenaan.
GAMBAR HIASAN
“Saya terima surat rayuan Pemborong mahu ambil pekerja asing untuk berkerja sebagai pembantu di Pasar Borong Selayang. Jawapan saya tetap.
“Saya tidak benarkan warga asing berkerja di situ (Pasar Borong Selayang). Ambil warga tempatan berkerja, usah cuba buat rayuan lagi. Ini dasar,” katanya dalam ciapan di laman Twitter, awal pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan kawasan pasar borong khususnya di Selayang perlu bebas daripada warga asing dan tidak mahu lagi dilabel sebagai Little Myanmar, Little Arakan sebaliknya perlu kekal dengan nama asal.
Justeru, peniaga, terutama dalam kawasan pasar borong digesa mengupah pekerja tempatan, menggantikan pekerja asing yang kebanyakannya menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, pada 20 April lalu.