PAID ARAH BACAAN YASSIN DAN SOLAT HAJAT
BACAAN YASSIN DAN SOLAT HAJAT DI MASJID, ELAKKAN GANGGUAN MISTERI KETUK PINTU- KADI DAERAH
JERANTUT: Pejabat Agama Islam Daerah ( PAID) mengarahkan semua pentadbir masjid di daerah ini supaya melaksanakan bacaan yassin dan solat hajat di masjid kariah masing-masing sebagsi ikhtiar dari gangguan perkara mistik.
Minggu lalu dan minggu ini, penduduk di daerah ini digemparkan dengan peristiwa ketukan pintu misteri dan bau busuk di beberapa buah kampung termasuk tanah rancangan FELDA sehingga menimbulkan keresahan penduduk Jerantut.
Kejadian ketuk pintu dan bau busuk misteri pada waktu malam telah berlaku di Kampung Perias dan Kampung Batu Embun dan minggu ini di Kampung Tanjung Puteri, Ulu Cheka dan FELDA Jengka 24.
Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa’ad, berkata beliau dihubungi oleh ramai pihak bertanyakan tentang misteri tersebut dan cara untuk mengatasi gangguan itu.
Katanya, beberapa hari lalu penduduk di daerah ini dikejutkan dengan kejadian misteri berupa ketukan pintu di rumah-rumah mangsa.
Kadi Daerah Jerantut-Syarifuddin Mohamad Sa'ad.
Beliau berkata, kejadian yang dikaitkan dengan unsur mistik itu telah mengundang kebimbangan dikalangan orang ramai khususnya umat Islam di daerah ini
“Sebagai ikhtiar dan langkah berjaga jaga supaya kawasan qariah kita dilindungi dari sebarang kejadian seumpamanya, saya memohon semua pentadbir masjid melaksanakan bacaan yassin dan solat hajat di masjid kariah masing-masing sekerap yang boleh,” katanya.
Beliau juga meminta khariah masjid supaya mengamalkan bacaan Al-Quran, manzil dan ruqyah syar’iyyah di setiap rumah dalam kariah serta mengelakkan dari melakukan perkara-perkara maksiat dan dosa.
“Semoga dengan usaha ini akan mengundang zimmah dan ‘ismah dari Allah dari sebarang musibah dan kejadian tidak diingini di kariah dan daerah kita,” katanya ketika ditemui.
Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan perumahan mengambil inisiatif mengadakan rondaan kampung khususnya selepas pukul 12 tengah malam bersama anggota polis.
Katanya, skuad keselamatan kampung yang terdiri anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan masyarakat boleh digerakkan mengawal kampung demi keselamatan komuniti.