HARGAI SEMANGAT MEREKA
KUANTAN KINI ZON MERAH
KUANTAN: Hujan lebat bersama ribut melanda daerah ini lewat petang tadi, ternyata tidak mematahkan semangat petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan.
Menerusi perkongsian melalui laman sosial Facebook rasmi Promosi PKD Kuantan, keadaan cuaca berkenaan mengakibatkan salah satu khemah digunakan bagi proses saringan COVID-19 rosak teruk.
KEADAAN KHEMAH UNTUK UJIAN SARINGAN COVID-19 DI PUSAT KESIHATAN DAERAH KUANTAN YANG ROSAK AKIBAT HUJAN LEBAT DAN RIBUT PETANG TADI/FACEBOOK PROMOSI PKD KUANTAN
“Walau ribut badai melanda, kami takkan patah semangat.
“Rintangan yang perlu pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan hadapi hari ini dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di Kuantan.
“Ayuh rakyat Kuantan kita terus patuhi SOP, agar penularan ini dapat dihentikan,” demikian ayat dipaparkan pada posting di laman sosial terbabit.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang lewat petang tadi turut memaklumkan daerah Kuantan kini dikategorikan sebagai Zon Merah berikutan peningkatan kes dan penambahkan kluster dikesan sejak semalam.