KERTAS SIASATAN DIBUKA KERANA LAPORAN PALSU
KERTAS SIASATAN DIBUKA KERANA LAPORAN PALSU
KULIM: Seorang lelaki membuat laporan palsu kononnya disamun tiga lelaki tidak dikenali di Jalan Kelapa Sawit, Kampung Ekor Kucing, Padang Serai di sini kerana bimbang dimarahi isterinya disebabkan wang gajinya habis dipercayai membeli dadah.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata lelaki berusia 30 tahun itu datang ke Balai Polis Padang Serai, 2 Disember lalu untuk membuat laporan kononnya disamun.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, lelaki itu mendakwa disamun ketika menunggang motosikal sendirian dan kononnya suspek bersembunyi dalam semak dan terus menahannya sambil mengacu parang di leher.
“Lelaki itu mendakwa suspek menumbuk perut dan mengambil wang tunai RM900 sebelum membuang dompetnya serta melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran,” katanya dalam kenyataan seperti yang dipetik BH Online hari ini.
Azhar berkata, lelaki itu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk merakam percakapan dan pegawai penyiasat pergi ke tempat kejadian untuk melihat keadaan bagi mendapatkan bukti dan saksi kejadian seperti dilaporkan.
“Hasil siasatan mendapati maklumat diberikan tidak konsisten dan terdapat keraguan dalam keterangannya.
“Lelaki itu mengaku memberi maklumat palsu kepada pegawai penyiasat hingga satu kertas siasatan kes samun dibuka,” katanya.
Azhar berkata, pengadu mengaku membuat laporan palsu dengan alasan bimbang isterinya bising disebabkan wang gajinya tidak mencukupi dan tidak dapat membeli keperluan anak.
Beliau berkata, pengadu juga memberi alasan kepada isterinya gajinya dipotong majikan dengan alasan kad perakam waktu rosak.
Katanya, berikutan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan selepas Order to Investigate (OTI) dibenarkan Timbalan Pendakwa Raya kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam yang boleh mendatang bencana kepada pihak lain.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan mendapati suspek berbuat demikian untuk mengelak ahli keluarga mengetahui duit gajinya sudah digunakan untuk membayar hutang dadah dan membeli dadah,” katanya.