MESIR UMUM JUMPA 14 KERANDA
Berita Global
MESIR UMUM JUMPA 14 KERANDA
KAHERAH: Kementerian Antikuiti Mesir semalam mengumumkan penemuan 14 keranda di bandar makam Saqqara, yang terpendam selama 2,500 tahun.
Keranda terbabit ditemui dua hari lalu ketika kerja penggalian dibuat pasukan arkeologi di tempat 13 lagi keranda kayu ditemui minggu lalu, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian itu mengatakan lebih banyak aktiviti penggalian dirancang dengan jangkaan terdapat satu lagi kawasan mengandungi keranda kayu akan ditemui di lokasi berkenaan.
Dalam satu video dikeluarkan bulan ini, Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Khaled al-Anani mengatakan penemuan baru-baru ini di Saqqara satu permulaan baharu kepada aktiviti arkeologi di negara itu.
Bandar Saqqara yang terletak kira-kira 16 kilometer di selatan piramid Giza adalah sebahagian daripada kota kuno Memphis, sebuah tapak Warisan Dunia dan tapak utama Piramid Djoser.
Mesir berusaha untuk mempromosikan penemuan arkeologinya di seluruh negara dalam usaha menghidupkan kembali sektor pelancongan yang terkesan akibat sekatan perjalanan berikutan penularan COVID-19.
Julai lalu, pihak berkuasa membuka kembali piramid Giza dan kawasan arkeologi lain kepada orang ramai selepas ditutup selama tiga bulan dan mengecualikan yuran visa pelancong bagi menarik pelancong.
Mesir juga merancang melancarkan projek utama, Muzium Agung Mesir dalam beberapa bulan akan datang.
Sektor pelancongan, yang terjejas ekoran pergolakan politik dan serangan keganasan selama bertahun-tahun, mula pulih untuk menarik pengunjung, dengan sekitar 13.6 juta kehadiran tahun lalu, ketika krisis COVID-19 mula melanda.
-AFP