GADUH KERANA PARKIR
GADUH KERANA PARKIR
KUALA LUMPUR: Berang kerana kereta mereka dihalang sebuah kereta lain di ruang parkir, tiga lelaki bertindak menyerang seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Jalan Metro Perdana, Taman Usahawan, Kepong di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, mangsa yang berusia 30 tahun bersama isterinya sedang makan di sebuah restoran di situ sebelum didatangi tiga lelaki dalam keadaan mabuk, kemudian memukulnya.
Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata tiga suspek terbabit dipercayai berang kerana mangsa meletak kenderaannya secara double park menyebabkan kereta suspek tidak dapat keluar dari petak parkir.
“Mangsa dicekik oleh salah seorang suspek dan seorang rakan suspek kemudian memanggil tiga lagi rakan mereka.
“Selepas dicekik, mangsa beredar untuk mengalih kenderaan dan ketika berada di dalam kereta, datang seorang lagi suspek ke arahnya dengan memegang stering rod (besi stereng) seperti mahu memukulnya menyebabkan mangsa terlanggar sebuah kereta lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
GAMBAR HIASAN
Kata beliau, mangsa membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kepong pada jam 12.06 tengah malam tadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Identiti enam suspek dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan tangkapan ke atas mereka akan dibuat dalam masa terdekat.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (melakukan khianat), Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah),” katanya.
Sementara itu, satu rakaman video berhubung kejadian itu tular di media sosial, hari ini.
Pada tiga minit terawal dalam rakaman video berdurasi 13 minit 18 saat itu, kelihatan tiga lelaki berlegar-legar di sekeliling sebuah kereta yang menghalang kenderaan mereka keluar dari petak parkir.
Salah seorang daripadanya turut menendang pintu hadapan kereta beberapa kali selain cuba memecahkan cermin di bahagian pemandu kenderaan terbabit.
Tidak lama kemudian, pemilik kereta datang ke arah kenderaannya dan ketika dia cuba masuk ke dalam kenderaannya, salah seorang daripada tiga lelaki itu memarahinya sebelum berlaku tolak menolak antara mereka.
Pergaduhan dan pertengkaran kemudian tercetus di antara mereka dan perkara itu berlarutan hampir 10 minit.