5 WARGA CHINA DITAHAN
LIMA WARGA CHINA DITAHAN DISYAKI JALANKAN JUDI DALAM TALIAN
KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuah unit kondominium di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini dan menahan lima warga China termasuk dua wanita kerana disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian, semalam.
GAMBAR HIASAN
Serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira jam 6.50 petang susulan maklumat dan aduan awam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata menerusi serbuan itu juga, polis merampas lapan komputer riba dan 42 telefon bimbit serta pelbagai peralatan komputer lain dan modem internet.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini baru beroperasi di negara ini kira-kira sebulan dan kita masih menyiasat lebih lanjut berhubung jenis perjudian yang dijalankan serta sasaran pelanggan sindiket ini.
“Bagaimanapun, analisa awal yang dijalankan ke atas komputer riba yang digunakan menemui unsur-unsur yang disyaki ada kaitan dengan kegiatan judi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan BH Online.
Katanya, semakan mendapati lima individu berusia antara 17 hingga 43 tahun yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.