POLIS BURU SEORANG LAGI SUSPEK
10 SUDAH DITAHAN UNTUK BANTU SIASATAN
KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lagi suspek disyaki terlibat dalam kejadian samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Wan Hassan Wan Embong di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini semalam.
DATUK SAIFUL AZLY KAMARUDDIN/GOOGLE IMAGES
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, setakat ini seramai 10 individu warga tempatan berjaya ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Serbuan dilakukan kira-kira pukul 11.24 malam tadi di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail susulan hasil risikan dilakukan dan menerusi operasi berkenaan kita berjaya menahan 10 individu.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 29 tahun dan hasil soal siasat mendapati seorang daripada mereka mengaku terlibat dalam kejadian samun tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, dipetik dari KOSMO! Online.
Menurut Saiful Azly, penahanan dibuat adalah susulan daripada kejadian samun kedua dilakukan suspek di sebuah banglo milik seorang jurutera di Taman Tiara Titiwangsa, di mana seorang daripada mereka membuang dompet milik mangsa yang mati selepas disergah orang awam ketika cuba melarikan diri.
“Penemuan dompet tersebut telah mengaitkan suspek dengan kedua-dua kejadian dan suspek yang terlibat turut berjaya dikenal pasti susulan lakaran fotofit dan pengecaman wajah dibuat oleh kesemua mangsa memandangkan suspek tidak memakai topeng ketika melakukan jenayah itu.
“Semakan mendapati lapan daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah serta narkotik dan pihak polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.
Jelas Saiful Azly, kesemua yang ditahan kini direman tujuh hari sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.