PUSAT PASTRI B40 DI JERANTUT
JERANTUT: Sebuah pusat pastri bagi kegunaan golongan B40, bakal dibuka di daerah ini bagi memudahkan mereka menyediakan kek tempahan, sekali gus membantu menambah pendapatan keluarga.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pusat itu akan dilengkapkan dengan kemudahan peralatan membuat kek bagi membolehkan golongan berkenaan menghasilkan kek tempahan masing-masing.
AHMAD NAZLAN (KIRI) MENYAMPAIKAN CENDERAHATI KEPADA PESERTA BENGKEL/FACEBOOK
Beliau bercadang untuk menyediakan kemudahan itu berikutan sambutan menggalakkan daripada golongan itu yang menghadiri kursus kemahiran pastri anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).
Katanya, walaupun pada awalnya hanya 150 tempat disediakan untuk mengikuti Kursus Sijil Profesional Seni Pastri, yang dikendalikan oleh tenaga pakar, tetapi sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga terpaksa diadakan dalam tiga siri membabitkan 450 peserta.
“Kursus tiga hari ini memberi peluang kepada golongan B40 yang terkesan dengan pandemik COVID-19 mempelajari pelbagai teknik membuat kek daripada chef hotel,” katanya ketika menutup Kursus Sijil Profesional Seni Pastri siri kedua yang diadakan selama tiga hari di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini.
Ahmad Nazlan berkata, peserta kursus perlu memanfaat dan tidak mensia- siakan kemahiran yang dipelajari itu untuk membantu keluarga masing masing menambah pendapatan.
“Kita juga berharap kursus sebegini dapat membuka peluang kepada golongan sasar untuk menjana pendapatan tambahan bagi memastikan kelangsungan hidup setelah pendapatan mereka terjejas akibat wabak COVID-19,” katanya.