6 AHLI GENG MAT TURBO DITAHAN
Berita Jenayah
6 GENG MAT TURBO DITAHAN
KUALA LUMPUR: Seramai enam individu dipercayai ahli `Geng Mat Turbo’ yang aktif mencuri lembu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Selangor dan Pahang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata semua suspek, termasuk seorang wanita yang ditahan berusia antara 20 hingga 31 tahun.
“Kita menyiasat aktiviti kumpulan ini selepas menerima laporan berhubung kehilangan lima ekor lembu di Batu Arang, dekat Gombak bulan lalu.
“Dalam serbuan pertama di Ampang pada Selasa lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan dua lelaki dan seorang wanita.
“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki di Jengka, Pahang serta Taman Impian Ehsan Balakong, Kajang dan Ampang, Selangor pada Rabu hingga Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Arifai berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit bergerak aktif mencuri lembu di sekitar Jerantut dan Jengka, Pahang selain Semenyih dan Kajang, Selangor.
“Mereka menggunakan tiga jenis kenderaan Subaru , Proton Etiga dan Proton Exora untuk menjalankan aktiviti jenayah itu.
“Kita rampas kenderaan berkenaan selain peralatan mencuri lembu serta wang tunai RM2,000 bagi membantu siasatan,” katanya.
Semua suspek yang mempunyai rekod jenayah itu direman tujuh hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.