MANGSA JATUH SUNGAI PAHANG BELUM DITEMUI
OPERASI HARI KETIGA YANG TAMAT JAM 6.30 PETANG BERSAMBUNG ESOK
TEMERLOH: Pencarian seorang pemuda yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang dekat Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang masih belum dijumpai selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga ditangguhkan pada jam 6.30 petang semalam.
Mangsa , Loqman Hamka, 20, dari Kampung Kuala Kujan yang membantu keluarganya menternak ikan patin sangkar di kawasan terbabit dikhuatiri jatuh setelah dikatakan untuk melihat rawai ikan di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Bukit Angin, Hashnuddin Hussin berkata, jarak pencarian semalam dianggarkan 42 kilometer radius menghilir dari lokasi terakhir mangsa dikhuatiri jatuh hingga ke jeti Chenor
“Pihak kami memulakan operasi hari ketiga pada jam 8.00 pagi dengan melakukan percarian di permukaan Sungai Pahang, selain itu turut melakukan kaedah olak ombak dengan menggunakan 2 buah bot penyelamat, usaha mencari ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan bersambung hari berikut,”katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kehilangan mangsa disedari rakannya yang melihat bot mangsa hanyut dan memaklumkan kejadian tersebut kepada bapanya, Hamka Abu Bakar,61.
Operasi turut dijalan oleh 10 orang anggota Balai Bomba Bukit Angin, 11 orang anggota polis (PDRM) dan 16 anggota Angkatan Pertahan Awam (APM) serta 12 orang nelayan sungai dengan menggunakan 2 buah bot bomba, 2 bot PDRM, 2 bot APM serta 4 bot nelayan sungai.