STOR SIMPAN FAIL HKL TERBAKAR
Berita Jenayah
KUALA LUMPUR: Stor menyimpan fail di Tingkat Empat, Hospital Kuala Lumpur terbakar malam tadi sehingga menyebabkan beberapa pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan lapang.
Komander Operasi Kanan PBK II Hamzah Mohd Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.07 malam dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, serta pasukan forensik dengan kekuatan lapan anggota.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan stor yang menyimpan fail berkeluasan 8 x 12 kaki persegi.
“Kemusnahan dianggarkan 10 peratus namun tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 11.35 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati beberapa pesakit dipindahkan ke kawasan lapang bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
Sehingga jam 1.10 pagi ini, pesakit sudah kembali ke wad masing-masing, selepas pasukan Bomba dan Penyelamat selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
- BERNAMA