MUNIF MENANG RM1,200 LUKIS MURAL
PERTANDINGAN MURAL MOH LAWO BANDOR KITA ANJURAN MAJLIS DAERAH MARAN, PELANCONGAN PAHANG
MARAN: Peserta solo pertandingan melukis mural Moh Lawo Bando Kita dengan lukisan bertema Indahnya Maran muncul juara dan mengondol hadiah wang tunai bernilai RM 1,200 dengan menewaskan 9 peserta solo dan 13 kumpulan lain.
Munif Muhamad Nor, 52 tahun dengan lukisan muralnya memberi sudut pandangan berkaitan kemahiran tangan pembuatan lesung kayu yang terkenal di Maran.
“Saya lihat kemahiran pembuatan lesung kayu mempunyai nilai estetika yang tinggi serta menjadi alat utama kegunaan tradisonal di dapur orang melayu, ”katanya.
Tempat kedua dengan hadiah bernilai RM1,000 dimenangi Kumpulan Anomali yang disertai Mohamad Nizam Mohd yasin, (26), Muhammad Amirul Izzat Min (26) dan Ahmad Nor Ahdah Addin Mohd umur 20 dengan lukisan bertema Alam Semulajadi.
Manakala tempat ketiga digondol oleh kumpulan Vias yang diwakili oleh Tuan Wil Tuan Mat, umur 59, Mohd Buraharuddin Wahid (56), Dzulhairi Md Rashid (38) dan Nur Ibrahim Nazlan (38) dengan lukisan bertema Herba menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 700.
Pertandingan dianjur Majlis Daerah Maran (MDM) dengan kerjasama Pelancongan Pahang dan lokasi melukis mural di Bangunan Bazar Maran dan Taman Tasik Maran yang berlangsung selama 3 hari.
Setiausaha MDM , Wan Norizan Wan Badaruzzaman berkata tujuan utama pertandingan melukis mural itu mewujudkan satu aktiviti street art sebagai satu daya tarikan baharu penduduk setempat, pelancong tempatan dan luar.
“Selain itu memberi peluang kepada orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi berkaitan untuk berkarya, menunjukkan bakat dan secara tidak langsung turut memberi khidmat sosial melalui lukisan.
“Lukisan bertemakan patriotik, pemandangan di Maran, permainan dan kegiatan tradisional serta produk makanan tempatan dilukis di dinding seluas 7 kaki x 10 kaki,” katanya.