DITAHAN KETIKA BERHIBUR
Berita Jenayah
SERAMAI 41 INDIVIDU DITAHAN KETIKA BERHIBUR
KOTA KINABALU – Seramai 41 pelanggan sebuah pusat hiburan ditahan polis ketika sedang leka berhibur dalam serbuan di Damai Plaza, Luyang semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.20 tengah malam itu, semua individu yang ditahan membabitkan 21 lelaki dan 20 wanita termasuk penjaga premis warga tempatan berusia antara 19 sehingga 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Habibi berkata, walaupun dalam kesibukan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah namun pihaknya tidak mengabaikan tanggungjawab dalam memastikan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) terus dipatuhi.
“Hal ini kerana kita masih berada di
dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sewaktu serbuan dijalankan, keadaan muzik dalam premis masih dimainkan dengan kuat.
“Manakala pelanggan pusat hiburan juga sedang leka minum minuman beralkohol tanpa penjarakan sosial ditetapkan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Habibi berkata, semua yang ditahan di bawa ke IPD Kora Kinabalu untuk siasatan dan tindakan selanjut.
Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7), Peraturan 3 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11.