PEMBULI JALAN RAYA DITAHAN, SILAP PILIH MANGSA
Berita Jenayah
PEMBULI JALAN RAYA DITAHAN, SILAP PILIH MANGSA
PETALING JAYA: Seorang pembuli jalan raya ditahan selepas terbabit dalam insiden kes buli di Kota Damansara, dekat sini, petang Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, suspek berusia 59 tahun yang memandu kereta PROTON Saga, bertindak menghimpit sebuah kereta jenis PERODUA MyVi dipandu mangsa yang juga anggota polis berusia 34 tahun.
Difahamkan insiden itu bermula ketika mangsa sedang melakukan pusingan U di simpang lampu isyarat Palm Spring, Kota Damansara, sebelum kenderaan dipandunya mula dihimpit oleh kereta suspek.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek kemudiannya mengekori kereta mangsa dan memotong sebelum memberhentikan kenderaan dipandunya secara tiba-tiba hingga mengakibatkan mangsa terpaksa membrek secara mengejut dan hampir berlaku kemalangan.
“Sebaik kenderaan dipandu suspek dan mangsa berhenti berhampiran stesen bas MRT Mutiara Damansara, suspek meluru keluar dari keretanya dan memarahi mangsa dengan kata-kata kesat.
“Suspek juga bertindak agresif dan tidak memberikan kerjasama selepas dibawa ke balai polis… dia (suspek) memarahi pegawai polis yang menerangkan punca dia ditahan dan turut merampas salinan laporan polis dibuat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Nik Ezanee berkata, suspek ditahan reman empat hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955; Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.
tamat