KERETA MELURU REMPUH DINDING BANK
Berita Kemalangan
KERETA MELURU REMPUH DINDING BANK
KUANTAN – Suasana di sebuah bank di sini kecoh apabila kereta jenis Honda City secara tiba-tiba merempuh dinding kaca premis tersebut pagi tadi.
Kejadian pukul 9.15 pagi di Jalan Tun Ismail itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan orang awam termasuk pemandunya yang merupakan wanita berusia 53 tahun.
Sehubungan kejadian itu, beberapa keping gambar mula tular di Facebook sejak pagi tadi dan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pengguna laman sosial itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian itu berpunca daripada kecuaian pemandu yang terpijak pedal minyak secara tidak sengaja.
“Wanita itu adalah kakitangan bank terbabit. Dia hadir untuk menghadiri mesyuarat di bank itu pagi tadi.
“Apabila sampai di tempat kejadian, wanita itu tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan kereta itu bergerak dan merempuh dinding kaca,” katanya.
Ujar beliau lagi, wanita tersebut bersama pengurus bank juga telah membuat laporan di Balai Trafik Daerah di sini sejurus selepas kejadian.
Tamat.