KANAK-KANAK 5 TAHUN DIKHUATIRI LEMAS
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar di Kampung Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, petang tadi.
Menurut laporan BH Online, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Muhammad Hazrin Zulkifli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun itu pada jam 5.37 petang tadi.
Susulan itu, katanya, seramai 15 anggota menaiki beberapa jentera dihantar ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di lokasi berkenaan.
“Difahamkan, mangsa terjatuh ke dalam longkang besar berkenaan sebelum dihanyutkan arus,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Hazrin berkata, pihaknya masih giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan lokasi kanak-kanak terbabit.
“Pasukan sokongan skuba turut berada di lokasi bagi membantu operasi SAR yang sedang dijalankan” katanya.