9 KLUSTER DIKESAN COVID-19
9 KLUSTER DIKESAN COVID-19
PUTRAJAYA: Sembilan lagi kluster baharu COVID-19 dikenal pasti, hari ini, dengan kesemuanya adalah berkaitan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat daripadanya dikesan di Johor, iaitu Kluster Jalan Timah Tiga, Kluster Jalan Tanjung Empat, Kluster Jalan Desa Tropika dan Kluster Batu Empat.
Beliau berkata, tiga lagi adalah di Selangor, iaitu Kluster Perusahaan Jalan Bukit, Kluster Industri Waja serta Kluster Jalan Selisik.
Selain itu, katanya, masing-masing satu kluster di Kuala Lumpur (Kluster Tapak Bina Bukit Kiara) serta Pulau Pinang (Kluster Jalan Sungai Baong).
“Setakat ini, Malaysia sudah merekodkan sejumlah 1,138 kluster dengan 647 sudah ditamatkan.
“Ia termasuk tiga kluster yang ditamatkan, hari ini, iaitu Kluster Jalan Rami Tiga, Kluster Lingkaran Maluri dan Kluster Sri Plentong.
“Sebanyak 491 kluster masih aktif dengan 89 mencatatkan kes baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH ONLINE.
Beliau berkata, kluster merekodkan angka kes baharu yang tertinggi, hari ini, ialah Kluster Perusahaan Jalan Bukit (262), Kluster Tapak Bina Bukit Kiara (180) dan Kluster Jalan Tasek Avenue (166 ).