85 MASJID JALANI SANITASI
85 MASJID JALANI SANITASI: PROSES SANITASI BERMULA ESOK
TEMERLOH: Sebanyak 85 masjid dalam kawasan Parlimen Temerloh dan Kuala Krau akan menjalani operasi sanitasi bermula esok.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, sebanyak tiga Balai Bomba dan Penyelamat terbabit dalam operasi sanitasi berkenaan.
GAMBAR HIASAN
“JBPM Pahang sudah dan akan melakukan (operasi) sanitasi di masjid terbabit dan juga lokasi awam yang berisiko.
“Ini akan dilaksanakan secara bersama… melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat agama Islam daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Pili Bomba Peringkat Daerah Temerloh di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, dekat sini, semalam.
Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Wan Mohamad Zaidi berkata, seramai 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Temerloh dan Mentakab terbabit dalam operasi berkenaan.
GAMBAR HIASAN
Katanya, beberapa stesen minyak yang berisiko dalam kawasan Temerloh juga akan dilakukan operasi sanitasi dalam masa terdekat.