50 TERPERANGKAP AKIBAT KEPALA AIR DI KAWASAN PERKELAHAN
50 TERPERANGKAP AKIBAT KEPALA AIR DI KAWASAN PERKELAHAN
KUALA KRAI: Seramai 50 mangsa termasuk lima bayi berdepan detik cemas apabila terperangkap, berikutan kejadian kepala air di kawasan perkelahan Sungai Kenerong, Jelawang, Dabong, petang semalam.
Difahamkan, kesemua mangsa terdiri daripada 35 dewasa, 10 kanak-kanak serta lima bayi terperangkap di kawasan perkelahan berkenaan akibat limpahan air susulan arus sungai yang deras.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Azwan Daud, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang dan tiba di lokasi kejadian 5.26 petang.
Katanya, seramai enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat kesemua mangsa yang terperangkap.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati ada mangsa yang terperangkap di kawasan perkelahan itu dan operasi menyelamat menggunakan tali dan bot bagi membawa keluar serta memindahkan kesemua mangsa.
“Operasi menyelamat tamat pada jam 7.40 malam dan kesemua mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat,” katanya.
Video/gambar: BOMBA/Media sosial