2 wanita mangsa pelaburan dan pinjaman tak wujud rugi lebih RM100,000
2 wanita mangsa pelaburan dan pinjaman tak wujud rugi lebih RM100,000
KUANTAN – Dua wanita berusia 31 dan 42 tahun mengalami kerugian RM117,770 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dan tawaran kerja tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kedua kes itu dilaporkan berlaku pada 14 Februari dan 9 Mac lalu.
“Kes pertama membabitkan mangsa berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pembantu perawatan kesihatan di hospital kerajaan.
“Dia terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menggunakan laman sosial Facebook.
“Mangsa menyertai pakej pelaburan ‘BitCoin’ RM4,500 dan dijanjikan pulangan (keuntungan) RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Ramli berkata, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membayar cukai dan pertukaran wang asing.
Katanya, mangsa membuat lapan kali transaksi pemindahan wang ke lapan akaun berbeza diberikan suspek mengakibatkan kerugian RM79,970.
Dalam kejadian kedua pula membabitkan mangsa seorang suri rumah berusia 31 tahun yang ditipu dengan tawaran pinjaman wang tidak wujud.
“Mangsa melihat iklan tawaran pinjaman wang di internet dan berminat membuat pinjaman berjumlah RM100,000 dengan syarikat itu.
“Suspek mengarahkan mangsa membuat pembayaran untuk memproses pinjaman dan mangsa berbuat demikian dengan menggunakan wang simpanan sendiri dan suaminya sehingga kerugian RM37,800,” katanya.
Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa waspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan penipuan pinjaman tidak wujud supaya tidak menjadi mangsa.-SAHIH