2 MAUT DUA LORI BERTEMBUNG
2 MAUT DUA LORI BERTEMBUNG
SEPANG: Seorang pemandu lori dan kelindannya maut dalam kemalangan membabitkan dua lori, di KM 38.7 Lebuhraya Elite dari arah Shah Alam menghala ke Nilai semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kejadian berlaku pada jam 8 malam, membabitkan pemandu lori jenis ‘bonded’10 tan tanpa muatan dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun bersama kelindannya berusia 36 tahun, terbunuh selepas merempuh belakang sebuah lori bermuatan batu bata.
Wan Azran berkata, pemandu serta kelindan lori tidak bermuatan itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke unit forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
“Semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan Jabatan Kimia.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Tiada saksi kejadian dikesan bagi memberi keterangan dan kawasan itu juga tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
“Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diadakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.