WARIS JANGAN RISAU SOP COVID-19 DI SEKOLAH
WARIS JANGAN RISAU SOP COVID-19 DI SEKOLAH
RAUB : Sejak peningkatan kes baharu Covid-19 kebelakangan ini, ibu bapa jangan risau terhadap aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diamalkan oleh pihak sekolah berkaitan kebersihan, keselamatan dan kawalan penularan di kalangan pelajar, guru, kakitangan sokongan, kakitangan kontrak malah pengusaha kantin sekolah
Sejak sekolah dibuka semula, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak pengurusan sekolah sudah bersedia melaksana garis panduan amalan SOP yang terbaik.
Tinjauan SAHIH di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (MGS), Raub mendapati amalan yang dilaksanakan sangat ketat dan mempunyai kaedah tersendiri, sekolah itu yang mempunyai 171 pelajar dan 29 orang guru sangat menitik beratkan keselamatan warganya.
Pegawai Pendidikan Daerah Raub , Nor Ahmad Abdul Rahim berkata, susulan norma baharu sesi persekolahan, setiap hari sebaik sahaja pelajar melangkah masuk ke kawasan sekolah, pastinya suhu pelajar akan diperiksa sebelum dibenarkan melangkah masuk ke premis berkenaan.
“Kemudian pelajar akan mengikut laluan yang bertanda menuju ke kelas bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi, duduk di meja yang berada dalam jarak satu meter antara satu sama lain, selain makan di dalam kelas semasa waktu rehat serta tidak melupakan pelitup mulut di waktu tertentu.
“Pihak kementerian sudah memberi garis panduan yang sewajarnya untuk dituruti demi keselamatan semua pihak, pengurusan sekolah hanya menuruti panduan tersebut agar sekolah berada dalam keadaan selamat 100 peratus,” katanya ketika ditemui di perkarangan sekolah itu, hari ini.
Katanya, di Raub terdapat 12 buah sekolah menengah dan 43 sekolah rendah dan daripada pemantauan dan pemerhatian yang diadakan semua sekolah mematuhi SOP berdasarkan garis panduan disediakan oleh KPM.
Pengetua sekolah itu, Zairish Zakaria berkata, kantin sekolah adalah kawasan larangan mengikut SOP ditetapkan, semua juadah yang dijual telah dibungkus oleh pihak pengusaha kantin mengikut menu harian yang sudah ditetapkan.
“Semua menu sudah ditetapkan mengikut hari dan tempahan dibuat lebih awal dan dibayar kepada guru kelas masing-masing untuk diserahkan kepada pengusaha kantin.
“Pengusaha kantin akan menghantar kepada “pusat pengambilan makanan” berdekatan kantin sekolah dan kemudian guru akan mengambilnya dan menyerahkan kepada pelajar kelas masing-masing yang menempah,”katanya.
Katanya, mungkin agak remeh tetapi itu adalah cara terbaik menghadkan pergerakan pelajar sebagai mengekang penularan wabak di samping memutuskan rantaian gejala.
Seorang guru media, Nurraishah Othman berkata, setiap kehadiran pelajar yang masuk ke dalam perpustakaan perlu mengambil suhu dan mengambil cecair antiseptik dan setiap buku yang sudah dibaca atau dipegang diletakkan di tempat pengasingan untuk disanitasi sebagai membenteras pendemik itu.
Seorang guru Mohammad Al-Firdaus Taib berkata, warga sekolah termasuk guru dan pelajar bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan sekolah dengan melakukan sanitasi kelas, peralatan di makmal, bengkel serta bilik-bilik khas lain sebagai tanggung jawab bersama.