UMNO TIDAK BINCANG ISU KERJASAMA DENGAN ANWAR
UMNO TIDAK BINCANG ISU KERJASAMA DENGAN ANWAR
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Biro Politik UMNO malam kelmarin tidak membincangkan isu berkaitan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baharu.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata perkara itu sebaliknya hanya dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang disifatkan sebagai pandangan peribadi.
Selain itu, katanya, mesyuarat berkenaan ada membincangkan perihal memperkukuhkan kerjasama Muafakat Nasional (MN), maklum balas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan perkara berkaitan urus tadbir UMNO.
“Pandangan saya, (UMNO) tidak boleh ubah sokongan sesuka hati kepada pihak lawan (Anwar), semata-mata kerana kurang atau tidak selesa dengan rakan seperjuangan sekarang.
“Bagaimana kita mahu menjawab kepada rakyat? Sentimen rakyat cukup penting dalam segala urus tadbir dan langkah parti. Kalau betul mahu perjuangkan rakyat, ia perlu disusuli menerusi tindakan parti yang mencerminkan begitu.
“Tidak boleh nampak UMNO buat benda semata-mata untuk kepentingan politik bagi jangka pendek,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tajuddin yang mendakwa UMNO sedia bekerjasama dengan Anwar jika Presiden PKR itu mempunyai formula boleh membahagiakan semua pihak di dalam parti itu sendiri.
Tajuddin dilaporkan berkata, sokongan itu juga tidak mustahil diperolehi daripada parti lain jika mereka berpendapat Ketua Pembangkang itu boleh memberi apa yang dimahukan.
Beliau mendakwa, UMNO juga sudah tidak berpuas hati sejak PN ditubuhkan di mana mereka tidak memperoleh peluang berkhidmat kepada rakyat seperti diharapkan, sekali gus membantutkan kekuatan parti itu.