TOLAK KERJASAMA DENGAN ANWAR
Berita Politik
TOLAK KERJASAMA DENGAN ANWAR
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung lebih empat jam malam kelmarin, namun ‘bahangnya’ terus memanaskan suhu politik negara.
Bermula jam 8.30 malam dan tamat jam 12.30 tengah malam, hasil mesyuarat itu ditunggu-tunggu ramai pihak apabila Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO kekal menyokong Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam kenyataan tujuh perenggannya, selain memutuskan untuk menolak sebarang kerjasama UMNO dengan PKR dan DAP, mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid itu turut menekankan inisiatif Agenda Perdamaian Nasional perlu disegerakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti pembangkang.
Selepas MKT UMNO mencapai kata sepakat, ia tidak tamat begitu sahaja apabila pelbagai tanda tanya apakah sebenarnya yang berlaku dalam mesyuarat berkenaan.
Pelbagai andaian dan telahan dibuat oleh pemerhati dan penganalisis politik, termasuk media mengenai agenda mesyuarat yang diadakan beberapa jam selepas semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), termasuk UMNO menganjurkan mesyuarat tergempar di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Difahamkan, antara isu yang memanaskan perbincangan adalah mengenai cadangan beberapa pemimpin parti itu untuk bekerjasama dengan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika diajukan pertanyaan mengenainya, Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perbincangan sokongan terhadap Anwar sememangnya dikemukakan dalam mesyuarat itu, namun itu hanya salah satu pilihan cadangan saja.
Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun ditolak majoriti ahli MKT kerana kerjasama dengan Anwar tidak boleh dilaksanakan memandangkan mereka bersekutu dengan DAP.
“Jelas ramai berpendapat Anwar tidak akan boleh bekerjasama dengan UMNO tanpa DAP.
“UMNO pula sebelum ini sudah menjelaskan memang tidak akan bekerjasama dengan DAP,” katanya kepada BH, semalam.
Mesyuarat MKT UMNO dan Ahli Parlimen BN yang berasingan diadakan sehari selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatullah Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat tidak perlu buat masa ini.
Seri Paduka juga memberi amaran agar ahli Parlimen berhenti membuat langkah politik yang boleh mengancam kestabilan kerajaan.
Titah baginda, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Mengenai sama ada tempoh masa dinyatakan berhubung sokongan dan kerjasama dengan PN serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ahli Parlimen Padang Besar yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata: “Ia tidak ditetapkan tetapi semuanya bergantung kepada situasi semasa COVID-19.
“Banyak yang kita pertimbangkan dan kita harap permintaan UMNO seperti jawatan penting dalam kerajaan, termasuk kuota jawatan Timbalan Perdana Menteri dipertimbangkan,” katanya.
Seorang lagi ahli MKT UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim pula menjelaskan parti itu juga memutuskan untuk menyokong Belanjawan 2021 demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula berkata isu sokongan terhadap Anwar tidak dibincangkan kerana parti memang sudah menolak Anwar dan DAP.
“Semua konsisten dalam keputusan semalam (kelmarin). ‘No DAP, No PKR,” katanya.
Bagi Datuk Razlan Rafii yang juga ahli MKT UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, persetujuan untuk menyokong PN dibuat tanpa syarat dan tiada tempoh masa diberikan.
Katanya, Agenda Perdamaian Nasional yang dicadangkan UMNO malam kelmarin akan dimulakan dengan sokongan kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November depan.
“Ia mengambil semangat yang dilaksanakan di beberapa negara di Eropah yang mana belanjawan disokong kerana ia membabitkan nasib rakyat.
“Kita sepakat akan terus menyokong belanjawan kerana ini soal rakyat, jika belanjawan tidak lulus, kakitangan awam tidak dapat gaji,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini mengakui menyokong UMNO bekerjasama dengan PKR dengan syarat tanpa penyertaan DAP, lewat petang semalam, menyangkal dakwaan beliau mahu membawa UMNO ke arah kerjasama dengan Anwar.
Dalam satu hantaran Facebook, Najib berkata kerjasama dengan Anwar yang menurutnya dengan syarat ia tidak membabitkan DAP, adalah satu daripada beberapa cadangan yang dibawanya ketika mesyuarat Ahli Parlimen BN di PWTC, petang kelmarin.
“Keputusan ini juga satu daripada tiga cadangan yang saya sebut semalam (kelmarin),” kata Najib.
Menurut Najib, selain kerjasama dengan Anwar atau PN, beliau turut mencadangkan agar UMNO menggesa penetapan tarikh untuk Pilihan Raya Umum (PRU) setelah wabak COVID-19 dalam keadaan terkawal.
BH Online