Terap nilai kemanusiaan kepada generasi muda
Foto atas : Mohd Azhari Mohammad dan Syamsul Tahrin Mohd Tahir (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama pelajar KPJ Healthcare University dan IKBN Peretak pada program sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2023 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor baru-baru ini.
Terap nilai kemanusiaan kepada generasi muda
Penerapan nilai kemanusiaan kepada generasi muda bagi memupuk kasih sayang dan sifat saling menghormati kepada golongan yang berusia serta memerlukan belaian kasih sayang menjadi objektif sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2023.
Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Marina Nafi, berkata membentuk nilai murni dalam kalangan generasi muda itu penting supaya amalan baik dapat pula membentuk kesedaran tinggi terhadap golongan warga emas khususnya ibu bapa untuk dijaga serta disantuni dengan sempurna.
“Perkara berkenaan juga antara salah satu pengisian sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia adalah menyantuni warga emas bagi melahirkan serta menggalakkan sukarelawan daripada setiap lapisan masyarakat menyanjungi mereka yang sudah lanjut usia.
“Sukarelawan terutama dalam kalangan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran, berprihatinan dan bertanggungjawab amat wajar mempunyai sikap saling bantu membantu serta peka dengan keadaan sekeliling kerana masih ada mereka yang memerlukan perhatian dan pembelaan daripada mereka,” katanya.
Katanya, apabila mereka dapat bersatu dan sering bekerjasama secara tidak langsung meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung pusat jagaan di bawah kendalian serta pengurusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila terpaksa mencari dana sendiri untuk terus beroperasi seperti Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM).
“Untuk makluman Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia tahun ini diadakan sempena Sambutan Hari Sukarelawanan Antarabangsa yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 5 Disember 2023 setiap tahun,” katanya di Majlis Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia yang diadakan di PJMM, Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah JBSN, Kementerian Belia dan Sukan, Mohd Azhari Mohammad; Timbalannya (Bahagian Pembangunan Rakan Muda), Syamsul Tahrin Mohd Tahir; Pengerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Medical Aid), Hanafi Jalalludin; dan Pengerusi serta Penasihat PJMM, Azman Rasman serta Mohiadin Bahado.
Program itu turut disertai 33 pelajar KPJ Healthcare University, Nilai yang menyantuni warga emas dengan melakukan pemeriksaan kesihatan dan penjagaan diri seperti memotong kuku.
“Manakala 30 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Peretak, Kuala Kubu Bharu pula menyempurnakan tugasan mengunting rambut, mengemas & membersih pusat jagaan serta Noor Azura dari Melaka menyiapkan lukisan dan mengecat mural dengan dibantu pelajar terbabit.
“Pembabitan pelajar dari dua pusat pengajian itu ‘Sesi Menyantuni Jiwa’ akan memberi impak mendalam kepada semua yang hadir bagi menyumbang tenag, sekali gus menjadikan ibrah (pengajaran) yang berguna untuk menjadi insan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Medical Aid), Hanafi Jalalludin Hanafi berkatam beliau rasa kagum dengan kehadiran pelajar yang merupakan Rakan Muda untuk menyantuni warga emas serta menyelami kehidupan mereka tersisih di pusat jagaan berkenaan.
“Saya berasa terharu mereka begitu bersemangat melakukan tugas sukarela serta tidak berasa kekok melayani karenah warga emas pelbagai peringkat umur dan sikap sedemkian seharusnya dikekalkan disamping diteruskan apabila menjadi sebahagian masyarakat selepas tamat belajar,” katanya.-SAHIH.