TEMA ALAM SEKITAR TAMAN NEGARA JADI INSPIRASI PELUKIS TEMPATAN, ALIZAN
TEMA ALAM SEKITAR TAMAN NEGARA JADI INSPIRASI PELUKIS TEMPATAN, ALIZAN
Bakatnya dikesan oleh gurunya ketika berusia 12 tahun, bermula saat itu, dia terus memahirkan dirinya dalam seni visual dan memperolehi gred A dalam mata pelajaran ini dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Anak jati Kampung Pagi, Jerantut, Alizan Alias (39) menjadikan keindahan semulajadi dipersekitaran kehidupannya sebagai inspirasi untuk berkarya dengan tema dan motif lukisan keindahan alam sekitar hutan hujan tropika yang direalisasikan di atas kanvas menghasilkan pelbagai jenis lukisan secara komersil.
Alizan berkata, kali pertama pembabitan dalam seni lukis, apabila dia diberi kepercayaan oleh pihak pentadbir Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, berdekatan rumahnya untuk melukis mural dinding bertemakan alam sekitar.
“Saya berjaya menyiapkan mural bertemakan pemandangan Kampung Pagi dalam tempoh dua minggu, keyakinan mula meningkat setelah mendapat maklumbalas berkaitan hasil seni saya.
“Kemahiran melukis secara kontemporari menggunakan pelbagai warna air dan poster juga diperoleh menerusi tunjuk ajar seorang pensyarah bidang Senilukis dan Senireka, Universiti Teknologi Mara UITM), Shah Alam yang kerap mengunjungi kampung ini.” katanya.
Pernah berkelana selama sembilan tahun di Kuala Lumpur untuk ‘berguru’ dengan pelukis jalanan lain di sana.
“Saya kembali semula ke Taman Negara Kuala Tahan dan menetap di Kampung Pagi untuk melukis secara serius setelah mendapati karya bertemakan alam sekitar, flora dan fauna, sungai dan jeram mendapat permintaan yang tinggi daripada warga kota dan pelancong.
Dia sudah menyiapkan catan bertajuk ‘Perahu Sungai Tembeling’, ‘Lubuk Sungai Tembeling’ dan ‘Jeram Perahu’ serta beberapa hasil seni berasaskan tema sungai dan hutan,” katanya.
“Setiap buah lukisan termasuk potret akan dijual dengan harga antara RM500 hingga RM10,000 kepada peminat lukisan bertemakan alam sekitar termasuk pelancong yang singgah di Taman Negara Kuala Tahan.
“Peristiwa menarik yang tidak dapat dilupakan sepanjang kerjaya sebagai pelukis apabila hasil seni saya bertajuk ‘Jeram Perahu 2’ telah dibeli oleh salah seorang ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan harga RM8,000 ketika mengadakan pameran di Shah Alam, Selangor tahun lepas,” katanya.
Alizan berkata, dia pernah terlibat dengan pameran bersama pelukis terkenal tanahair di Shah Alam, Selangor dengan menampilkan karya bertajuk ‘Sungai Tahan’, ‘Taman Negara Pahang’,’Sungai Keniam’, dan ‘Jeram Perahu Sungai Tembeling.
“Kini saya membuka galeri di rumah sambil menyiapkan karya baharu dan pada masa yang sama mengajar bakat baharu pelukis dalam kalangan pelajar dan belia seminggu sekali,” katanya.-SAHIH.