Tekong darat pandu 30km lawan arus bawa enam PATI dicekup
Tekong darat pandu 30km lawan arus bawa enam PATI dicekup
GUA MUSANG – Tindakan nekad seorang tekong darat yang membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar melarikan diri sejauh 30 kilometer (km) membawa padah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandunya ditahan polis semalam.
MPV yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan pada jam 10 pagi berhampiran persimpangan lampu isyarat di bandar ini.
Ketua Polis daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian itu, sepasukan anggota polis dari cawangan kereta peronda polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang membuat pemeriksaan snap check di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, di sini pada pukul 9.30 pagi.
Katanya, semasa sedang bertugas, anggota polis melihat sebuah Perodua Alza membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan apabila pemandunya bertindak memecut laju MPV itu arah ke bandar Gua Musang.
“Anggota bertugas t mengejar MPV itu yang memandu secara melulu dan berbahaya serta melanggar lampu isyarat jalan raya. Tidak cukup dengan itu, pemandu MPV turut bertindak melawan arus di hadapan IPD Gua Musang semasa dikejar anggota bertugas.
“Selepas 30 km mengejar, kereta yang dinaiki suspek bergesel dengan kenderaan polis sebelum berhenti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, semasa proses tangkapan dijalankan berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis.
Katanya, suspek mengalami kecederaan luka kecil di bahagian bawah mata sebelah kanan, lebam di bahagian pipi kanan dan tapak tangan kiri manakala seorang anggota bertugas mengalami luka pada tapak tangan serta lutut.
“Enam PATI warga Myanmar berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 26 tahun termasuk dua wanita tidak mempunyai dokumen perjalanan sah yang menaiki kenderaan terbabit turut ditahan polis.
“Kita percaya suspek adalah seorang penyeludup PATI dan sebelum penahanan semalam, lelaki itu menjemput enam warga Myanmar berkenaan dari sempadan Rantau Panjang untuk dibawa ke Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Utusan