Pendaki Gunung Tahan Meninggal Dipercayai Tiada Tenaga

LIPIS – Seorang pendaki meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari puncak Gunung Tahan di Kem Kor kira-kira 13 kilometer (km) dengan lokasi penamat di Kuala Juram, Merapoh dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku di Kem Kor pada jam 8 pagi hari ini.

Mayat pendaki Gunung Tahan, Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz dibawa turun daripada helikopter Polis di Raja Malaysia selepas mendarat di Padang Dataran Residen, Kuala Lipis, Lipis, Pahang hari ini. – FOTO /IHSAN IPD LIPIS

Mangsa yang juga seorang peniaga, Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari dipercayai kehabisan tenaga dan lemah, manakala mengalami cirit-birit selama dua hari.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor

Ketua Polis Daerah, Suprintenden Azli Mohd. Noor berkata, polis Balai Polis Merapoh telah menerima maklumat daripada Bomba dan Penyelamat Lipis mengenai seorang pendaki mengalami kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan.

“Siasatan polis mendapati kumpulan pendaki berkenaan terdiri daripada 12 orang, iaitu semua lelaki daripada Selangor yang dipandu arah oleh dua orang malim gunung ketika mula dan perjalanan turun ke Kuala Juram daripada puncak Tahan.

“Mereka mula mendaki pada 12 Mac lalu dan dijangka pulang dan tiba sampai di Kuala Juram pada 16 Mac (hari ini).

“Semasa dalam perjalanan turun kira-kira 13 km dengan Kuala Juram, mangsa, Raja Azlan Shah telah hilang tenaga dan lemah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, malim gunung melaporkan keadaan mangsa mengalami cirit birit selama dua hari dan tidak makan sehingga dia amat lemah.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis telah memohon bantuan helikopter Polis di Raja Malaysia (PDRM) bagi tujuan menyelamat dan membawa turun mangsa yang disahkan meninggal dunia ke Hospital Lipis.

Jenazah mangsa dibawa turun

“Operasi menyelamat dan membawa turun mangsa membabitkan seramai tiga orang pegawai, sembilan anggota yang terdiri daripada PDRM, Bomba dan Penyelamat Lipis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dua orang malim gunung.

“Jenazah mangsa dibawa dengan helikopter dan mendarat di padang Dataran Residen, bandar Kuala Lipis dan dibawa ke Hospital Lipis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-SAHIH.